Apa itu Penyakit Kencing Manis - Satu kisah Malaysia untuk orang awam Malaysia

(Diterjemahkan daripada artikel bahasa Inggeris di sini oleh Poh Xin Xian)

Walaupun setiap satu daripada lima orang dewasa menghidapi Penyakit Kencing Manis, ia masih merupakan salah satu jenis penyakit yang sering disalah ertikan oleh komuniti Malaysia. Artikel ini bertujuan untuk menerangkan secara terperinci tentang penyakit ini ala 'Malaysia'.

 

Dalam Bahasa Cina dan Bahasa Melayu, istilah "kencing manis" biasa digunakan. Istilah ini dikenali juga sebagai "diabetes" dalam Bahasa Inggeris, dan "Penyakit Gula" dalam Bahasa Tamil. Walaupun istilah-istilah ini memberi kefahaman yang agak tepat, tetapi mereka tidak menjelaskan hakikat yang sebenarnya tentang penyakit ini.

 

Penyakit kencing manis ini boleh difahamkan sebagai satu penyakit yang melibatkan sejenis hormon yang dikenali sebagai Insulin.

 

Untuk memahami apa itu Insulin, kita perlu tahu tentang di mananya lokasi pankreas dalam badan kita .

 

 

Merujuk gambar Hang Tuah di atas, bolehkah anda lihat terdapat bahagian kuning yang bentuknya seperti daun? Ya, itu pankreas anda, terletak di belakang perut dan di bawah hati anda.

 

Pankreas anda biasanya menjalankan tugasan yang berbagai-bagai. Salah satunya adalah menghasilkan hormon Insulin. Insulin ini, apabila dilepaskan ke dalam darah, akan mengalir ke seluruh bahagian tubuh kita melalui saluran darah.

 

Insulin tersebut akan memberitahu sel-sel kita, "Eh, buka pintu sel anda dan pindah masuk gula yang berada dalam darah ini! " .

 

Sel-sel akan menuruti pesanan insulin. Gula dari darah akan dipindah masuk ke dalam sel-sel dan seterusnya digunakan untuk menghasilkan tenaga.

 

Terdapat 2 jenis penyakit kencing manis: Jenis 1 & Jenis 2. Jika anda seorang dewasa, dan berminat tentang penyakit kencing manis yang lebih biasa,

anda boleh melangkau terus ke bahagian seterusnya, "penyakit kencing manis jenis 2".

 

Penyakit Kencing Manis Jenis 1

  Dalam penyakit kencing manis jenis 1, pankreas kita langsung tidak dapat menghasilkan insulin (atau hampir tiada insulin yang dapat dihasilkan). Dalam situasi tersebut, sel-sel kita tidak dapat membuka pintu untuk membawa glukosa (gula) ke dalam sel. SEMUA gula akan berkumpul di dalam darah kita, dan seterusnya ditapis keluar melalui air kencing kita. Sebab inilah kandungan gula dalam darah dan air kencing adalah tinggi dalam pesakit kencing manis.   Tetapi itu bukan isu yang paling mencemaskan. Isu CEMAS sekarang ialah, sel-sel kita TIDAK dapat memperoleh gula untuk digunakan sebagai bahan api demi menghasilkan tenaga! Disebabkan itu, sel-sel akan mula membakar diri sendiri (atau tenaga simpanan) untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan untuk memastikan sel terus hidup. Apabila keadaan ini berlaku, sel-sel kita akan membebaskan sesuatu yang dikenali sebagai keton ke dalam darah kita. Keton inilah yang menjadikan badan kita sangat berasid, dan jika berterusan dan bertambah serius, ia boleh membawa maut. Inilah sebabnya pesakit kencing manis jenis ini mungkin akan kehilangan nyawa sekiranya tidak mendapat rawatan insulin untuk beberapa hari berturut-turut.   Nasib baik penyakit kencing manis jenis 1 ini bukannya penyakit yang sangat lazim di Malaysia. Daripada kalangan pesakit kencing manis yang mengunjungi Farmasi saya, hanya dua orang adalah pesakit kencing manis jenis 1 (iaitu kurang daripada 1% daripada jumlah pesakit kencing manis). Kencing Manis Jenis 1 biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak, dan kes-kes yang melibatkan orang dewasa adalah amat jarang. Situasi yang melibatkan orang dewasa dikenali sebagai LADA.   Ibu Bapa yang menpunyai anak dengan diabetes jenis 1 tidak perlu merasa terlalu sedih. Selagi anak mereka mendapatkan rawatan suntikan insulin yang betul dan tepat, anak mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang biasa. Di sini terdapat satu komik yang memaparkan kehidupan seorang kanak-kanak kencing manis, dengan kehidupannya yang gembira dan aktif. Pakar-pakar masih tidak dapat memberikan jawapan yang sangat pasti tentang sebab berlakunya penyakit ini kepada anak anda. Kebanyakan daripada pakar-pakar percaya bahawa ia disebabkan oleh jangkitan atau penyakit autoimun semula jadi, atau jangkitan yang membawa kehancuran kepada sel menghasilkan insulin.   Untuk pesakit kencing manis yang selebihnya (99 lebih peratus), kemungkinan besar, anda merupakan pesakit kencing manis jenis 2.  

Penyakit Kencing Manis Jenis 2  

Penyakit kencing manis jenis ke-2 merupakan jenis yang paling biasa berlaku di dunia ini. Masalah ini berpunca daripada tabiat pemakanan yang berlebihan, dan gaya hidup yang tidak aktif.

Kisah seorang pesakit kencing manis Malaysia biasa bermula seperti ini:
 
Pada suatu masa dahulu, Ali merupakan seorang dewasa yang sihat dan normal. Seperti rakyat Malaysia sekalian, Ali MENGGEMARI pelbagai jenis makanan. Tiap-tiap hari, biarpun sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam, Ali akan menyertai rakan-rakannya untuk memburu makanan tersedap yang terdapat di Malaysia. Malangnya, makanan-makanan tersebut biasanya mempunyai kandungan lemak dan karbohidrat yang sangat tinggi. Contohnya, Nasi Lemak untuk sarapan pagi, Char Koay Teow untuk makan tengahari, dan Nasi Kandar untuk makan malam. Untuk maklumat anda, Ali TIDAK suka makanan manis, dan langsung TIDAK makan gula-gula! (Kerana dia tidak mahu menjadi pesakit kencing manis). Ali tidak tahu bahawa makanan yang dinikmatinya mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi (nasi, mi, roti, koay teow, dan lain-lain), DAN KARBOHIDRAT INI akan berubah menjadi gula dalam usus, dan SEMUA gula ini akan diserap ke dalam aliran darah! Jadi, kesianlah pankreas Ali sebab perlu bekerja lebih keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin supaya sel-sel badan boleh mengangkut masuk gula tambahan dari darahnya. Situasi inilah sering berlaku di dalam badan kita, pankreas kita menjerit sekuat-kuat kepada sel-sel kita:  

"BUKA PINTU ANDA! Bekerja dengan lebih cepat! Terlalu banyak gula dalam darah kita!"  

Apa akan terjadi sekiranya anda sering melaung-laung terhadap seseorang setiap hari? Orang itu mungkin akan menjadi semakin lali terhadap jeritan anda. Begitu juga dengan sel-sel kita. Sel-sel akan bertindak balas dengan semakin perlahan walaupun lebih banyak insulin yang dihasilkan oleh pankreas. Apa yang terjadi seterusnya? Perlulah kita menjerit dengan lebih kuat lagi. Pankreas kita akan dipaksa untuk menghasilkan lebih banyak insulin setiap hari kerana sel-sel kita semakin lali dengan jeritan pankreas. Keadaan ini dikenali sebagai Rintangan Insulin, dan ia adalah salah satu punca utama pesakit kencing manis mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi.  
Semua ini sedang berlaku di dalam badan Ali, tetapi Ali tidak sedar. Disebabkan kerjayanya, Ali kini mempunyai lebih banyak wang untuk berbelanja untuk makanan, tetapi semakin kurangnya masa untuk bersenam. Perut Ali semakin buncit akibat kekurangan bersenam dan makanan berlebihan. Selain daripada kelihatan seperti Baymax dari Big Hero 6, sel-sel lemak di dalam perut buncit Ali merembeskan sejenis bahan kimia yang dipanggil adipokines, yang akan memudaratkan lagi pankreas yang bekerja keras itu.
  Jadi, pankreas Ali kini telahpun menjerit sekuat mungkin, di samping diserang oleh adipokines. Adakah Ali berbuat apa-apa untuk membantu pankreas yang kesian itu?

Tidak. Sudah tentulah tidak.

Sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia, Ali meneruskan kehidupannya seperti biasa, dengan mengambil makanan yang sedap dan secara berlebihan, tiap-tiap hari.   Sehingga satu hari, pankreas Ali menjadi rosak. Ali telah memaksa pankreasnya bekerja terlalu kuat dan terlalu keras, untuk terlalu lama. Pankreas Ali tidak lagi terlarat untuk menjerit lagi. Ia hanya dapat berbisik kepada sel-sel untuk membuka pintu sel. Tetapi sel-sel tidak dapat bertindak balas dengan hasilan insulin yang terlalu sedikit. Akibatnya, kandungan gula dalam darah Ali meningkat secara mendadak, dan air kencing Ali bertukar menjadi manis.  

Inilah hari di mana Ali telah menjadi pesakit kencing manis, yang sebenar.  

Sepanjang bulan akan datang, Ali akan berasa letih, dan berat badannya akan turun secara mendadak. Dia tidak faham mengapa berat badannya menurun sebab dia masih makan seperti biasa. Ali tidak tahu bahawa hanya sekitar 20% daripada gula dalam darahnya akan sampai ke bahagian dalam sel-sel untuk digunakan sebagai bahan api menghasilkan tenaga. Dengan bahan api yang sedikit, tenaga yang dihasilkan hanya mencukupi untuk memastikan Ali terus hidup, tetapi tidak cukup untuk Ali berfungsi dengan baik. Akibat kekuranan bahan api, badannya juga akan sedikit-sedikit membakar dirinya sebagai bahan api. Disebabkan ini, penurunan berat badan Ali berlaku.   Selain daripada ini, Ali kerap pergi ke tandas untuk membuang air kecil. Bilangan kunjungan ke tandas jauh melebihi yang biasa. Ini disebabkan oleh gula yang tinggi dalam darah. Dalam keadaan ini, air akan ditarik masuk ke dalam aliran darah, dan kemudiannya disalurkan ke pundi kencing, mengakibatkan Ali kencing dengan lebih kerap. Dan oleh sebab kebanyakan air dalam badan telah disalurkan menjadi air kencing, Ali berasa sentiasa haus.  
Jikalau Ali mendapatkan rawatan perubatan yang betul pada masa ini, tahap gula Ali boleh dikawal pada paras normal. Walaupun sekarang tiada ubat untuk menyembuhkan penyakit kencing manis ini sepenuhnya, sekurang-kurangnya Ali boleh menjalani kehidupan yang seperti manusia biasa sehingga usia tua, dengan bantuan ubat-ubatan.  

Tetapi, Ali adalah seorang rakyat Malaysia lazim.

Selepas doktor memberitahu dia menghidapi penyakit kencing manis, Ali enggan mengambil apa-apa ubat yang diberikan oleh doktornya. Sebaliknya, Ali memilih untuk mempercayai cerita yang diberitahu oleh pemandu lori bahawa kalau dia mengambil ubat kencing manis, buah pinggang dia akan mengalami kerosakan, dan kemudian kakinya akan dipotong.     Situasi ini berlakulah di Malaysia. Pemandu lori itu, pakcik makcik di pasar dan saudara mara yang sentiasa sedia-membantu itu kononnya lebih pakar dalam penyakit kencing manis daripada doktor dan ahli farmasi. Sekurang-kurangnya Ali berpandangan demikan.  

Jadi, Ali memulakan perjalanan yang mahal untuk mencari penawar ajaib untuk penyakit kencing manisnya. Dia mencuba semua jenis herba yang dapat dicari, dengan sabarnya mendidih setiap malam untuk diminum. Sambil menguji tahap gulanya, Ali berasa gembira sebab herba tersebut berkesan untuk menurunkan tahap gulanya DENGAN SEDIKIT. Doktor atau ahli farmasi berasa hairan mengapa Ali memilih untuk mencuba herba tersebut berbanding dengan ubat penyakit kencing manis yang biasa yang dikenali ramai sebagai Metformin, sedangkan Metformin juga diperolehi daripada tumbuhan French Lilac.
The French Lilac

Herba yang Ali makan tidak mempunyai kajian saintifik yang terperinci dan hanya mampu menurunkan tahap gula sedikit sahaja.


   Sebenarnya, kebanyakan kedai farmasi didapati menjual ubat Metformin pada harga RM1 satu papan, dan ubat ini telah terbukti selamat lebih daripada 60 tahun.  

Tetapi, Ali adalah seorang rakyat Malaysia.

Bukti perubatan dan kajian saintifik tidak memberikan sebarang kesan kepadanya. Selepas mencuba herba selama 6 bulan, paras gula Ali mula meningkat kembali. Kemungkinan besar ini bukan salah herba tersebut tetapi sebab penyakit kencing manis ini adalah penyakit yang progresif. Jika dibiarkan tidak terkawal, penyakit ini (atau lebih tepat gula darah yang meningkat) sebenarnya akan merosakkan pankreas dengan lebih serius.

Pankreas Ali kian hari menjadi semakin lemah, dan insulin yang dihasilkan akan semakin kurang. Keadaan ini dikenali sebagai ketoksikan glukosa, di mana paras gula yang tinggi dalam darah Ali "Meracuni" Pankreas Ali.   Ali semakin kecewa dan hampir berputus asa dengan pengurusan penyakit kencing manisnya.

Pada masa inilah tibanya suplemen "ajaib" jualan langsung. Rakan sekerja Ali, Farid telah berkongsi tentang manfaatnya product XXX Apple Stem Cell dalam facebook. Farid mendakwa bahawa produk ini telah menyembuhkan ramai pesakit kencing manis, dengan memaparkan gambar "sebelum dan selepas" pesakit yang berjaya disembuhkan. Jadi Ali menghabiskan sebahagian besar wang simpanannya untuk membeli produk tersebut dengan "harga khas untuk ahli" yang kononnya sangat baik, menurut Farid. Sekarang Ali mempunyai bekalan sel stem XXX selama setahun, dan dia mengambilnya dengan tekun supaya dapat disembuhkan.  

Hanya selepas setengah tahun, Ali akhirnya menerima dan menyedari hakikatnya bahawa sel stem XXX TIDAK dapat merawat kencing manis dia. Dan pada masa ini dia terlihat kawannya, Beng Seng berkongsi tentang produk khas ini yang dipanggil ZZZ Deer Placenta. Walaupun ia berharga RM8888 sekotak, ianya cukup untuk bekalan satu tahun. Yang terbaik mengenai produk ini adalah, ia seolah-olah dapat menyembuhkan SETIAP penyakit di dunia. Inilah penawar saya, Ali fikirkan.  

Lalu dia pun menggunakan kad kredit ke tahap maxima untuk membeli penawar baru ini. Ali kemudiannya mula mengambil produk ini seolah-olah hidupnya bergantung pada produk ini. Kitaran ini berterusan selama lebih daripada 5 tahun, dan gula dalam darah Ali masih tidak pernah bertukar menjadi normal.  

Untuk jangka masa ini, sekiranya dia menerima pendapat dan pandangan doctor dari mula, Ali akan dapat mengawal penyakit kencing manis dengan sempurna hanya dengan sebahagian kecil daripada wang yang telah dibelanjakan.  

Tetapi apa yang kita boleh katakan? Ali adalah seorang rakyat Malaysia.  

Pada satu pagi apabila bangun daripada tidur, Ali mendapati dia mempunyai masalah membaca masa dari jam rumah. Dia mendapati bahawa penglihatannya kabur di kawasan tengah-tengah, seolah-olah bintik hitam menyekat penglihatannya.  

Dengan perasaan takut, Ali akhirnya memutuskan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor di Klinik Mata. Mata Ali telah disahkan mengalami Retinopati, suatu keadaan di mana saluran darah kecil di mata telah bocor, dan telah mengakibatkan kerosakan kepada macula – bahagian mata yang paling penting untuk melihat.  

Ali tidak sedar bahawa gula berlebihan dalam darahnya bukan hanya membuat darahnya rasa manis, tetapi gula inilah yang sangat merbahaya. Paras gula yang tinggi dalam darah merosakkan saluran-saluran darah kecil, menyebabkan kerosakan mata, buah pinggang, dan saraf. Tahap gula darah yang tinggi juga menjejaskan keupayaan penyembuhan badan kita, menjadikan luka kita menyembuh dengan lebih perlahan berbanding dengan biasa. Doktor tidak mempunyai pilihan lain selain daripada memberi rawatan laser untuk mata Ali, untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk. Tetapi pada masa yang sama bintik hitam akan dikekalkan dalam penglihatan Ali.

Sekarang Ali mula berasa takut dengan keadaannya. Buat pertama kali dalam hidupnya, Ali bertanya kepada doktor kalau terdapat apa-apa ubat yang dia boleh ambil. Selepas mengambil ubat tersebut, gula dalam darah Ali turun, tetapi dengan tidak sempurnanya. Walaupun dia mengambil ubatnya secara kerap, Ali tidak pernah memeriksa bacaan gula darahnya sendiri. Dia tunggu sehingga lawatan doctor yang seterusnya 6 bulan kemudian sebelum dia memeriksa bacaan gula sekali lagi.  

Ini kesilapan besar Ali. Ubat kencing manis perlu dititratkan (dos disesuaikan sedikit-dikit) untuk setiap pesakit, kerana setiap orang memerlukan dos ubat yang berbeza. Doktor memulakan ubat diabetes dengan dos yang rendah supaya Paras gula Ali tidak turun melampau. Maka pemeriksaan paras gula sendiri adalah amat penting. Untuk 6 bulan tersebut, ubat Ali tidak cukup kuat untuk mengkawal kencing manisnya. Pada masa ini, pankreas Ali telah memutuskan untuk berhenti, dan hampir berhenti berfungsi sepenuhnya. Tahap gula Ali naik kembali ke tahap berbahaya, dan keadaan matanya menjadi lebih teruk.   Semasa lawatannya dengan doktor, doktor terpaksa memulakan Ali dengan rawatan suntikan insulin, untuk menggantikan insulin daripada pankreas Ali yang rosak.

Insulin moden ini dihasilkan seiras dengan insulin MANUSIA, dan tidak mempunyai sebarang kesan sampingan jangka panjang yang serius. Jika Ali mendengar nasihat doktor dan mulakan suntikan insulin, keadaannya sekurang-kurangnya tidak akan bertambah buruk.  

Tetapi sekali lagi, Ali adalah seorang rakyat Malaysia.  

Ali bimbang orang lain akan berfikir bahawa dia seorang penagih dadah, dan berasa malu untuk membawa suntikan keluar di khalayak ramai. Akibatnya, Ali hanya mengambil suntikan insulin apabila dia bersendirian di dalam biliknya, iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur, Dia terlepas 2 dos yang ditetapkan oleh doctor (tidak mengambil suntikan insulin sebelum makan tengah hari dan sebelum makan malam). Tidak hairan, gula darahnya masih tidak terkawal.  

Satu hari ketika bersiar-siar di sekitar taman, Ali dengan tidak sengaja tertendang tepi bangku. Ibu jari kaki Ali berdarah, namun lukanya tidaklah teruk sangat (bagi orang biasa). Ali mencuci luka dengan air bersih, dan membalut luka dengan kain kasa.  

Tetapi malangnya, selepas 2 minggu, lukanya masih tidak sembuh, dan ibu jari kaki telah dijangkiti. Ali melawat doctor hanya selepas kakinya mengeluarkan bau yang sangat kuat. Kaki Ali telah menjadi gangren. Ini bermaksud sebahagian besar tisu kaki telah rosak, akibat jangkitan dan gangguan bekalan darah. Doktor-doktor tidak mempunyai pilihan lain selain daripada memberitahu Ali bahawa mereka terpaksa memotong jari kakinya, kerana sudah tiada cara lain untuk menyelamatkan ibu jari kaki.  

Tetapi Ali adalah seorang rakyat Malaysia.

Dan rakyat Malaysia tidak pernah berhenti dalam mencari penawar ajaib. Dalam fikiran Ali, dia menganggap ubat yang diberikan oleh doktor tidak memberi kesan yang sepatutnya.

Pernahkah Ali berfikir bahawa dia sendirilah yang telah menangguhkan proses rawatan untuk terlalu lama? Atau berfikir bahawa ini akibatnya dia tidak mengambil suntikan insulin seperti yang diarahkan oleh doktor? Sudah pasti tidak.  

Sekali lagi, Ali mula mencari penawar ajaib yang boleh menukarkan kembali jari kakinya yang telah gangren kembali bernyawa. Sekali lagi, masa berharga telah disia-siakan di sini, dan bakteria telah merebak dari pangkal jari kakinya sehingga bawah lutut. Hidup Ali sekarang dalam bahaya kerana jika bakteria merebak ke seluruh aliran darah, ia akan menyebabkan berlakunya keadaan yang dipanggil septisemia, dan keadaan ini boleh membawa maut serta-merta.  

Jadi hanya tinggal satu perkara yang boleh doctor lakukan, iaitu memotong bahagian kakinya yang rosak itu. Ali berasa kecewa sekali lagi. Ali sepatutnya belajar daripada kesilapan. Tetapi sebaliknya, Ali menyalahkan perubatan barat yang menyebabkannya kehilangan kaki. Dengan penuh kemurungan, Ali berhenti mengambil semua ubat kencing manisnya. Akibat daripada komplikasi penyakit, riwayat hidup ini berakhir dengan kematian Ali.  

Inilah kisah kitaran hidup sedih seorang pesakit kencing manis rakyat Malaysia. Tetapi jangan berasa tawar hati, kerana sekiranya Ali mengikut arahan doktor, biarkan hanya untuk sekali sahaja, kesudahan cerita ini akan menjadi sangat berbeza. Seperti dalam fakta, kajian UKPDS yang dibiayai kerajaan menunjukkan bahawa sekiranya pesakit kencing manis dapat menurunkan paras gula darah mereka ke julat normal, pesakit-pesakit ini dapat mengurangkan risiko komplikasi kepada tahap yang paling biasa.  

Seolah-olah mereka tiada kencing manis.  

Untuk meringkaskan apa yang kita boleh pelajari dari cerita di atas, perkara-perkara berikut perlu diambil perhatian:  

1. Diabetes jenis 2 berlaku sebahagiannya disebabkan gaya pemakanan yang berlebihan dan gaya hidup yang tidak aktif.

2. Sila menerima rawatan doktor jika anda telah disahkan menghidapi penyakit kencing manis. Tiada ubat kencing manis sekarang yang menyebabkan kerosakan buah pinggang, dan tiada satu pun ubat ini yang menyebabkan amputasi kaki.

3. Pemandu lori, saudara mara di pasaran, dan jurujual jualan langsung TIDAK DIBERI LATIHAN UNTUK MERAWAT PENYAKIT KENCING MANIS. Kebanyakan "fakta" yang mereka beritahukan tidak masuk akal.

4. Produk yang dijual oleh syarikat jualan langsung biasanya TIDAK bermasalah. Masalahnya ialah tuntutan keterlaluan yang dibuat oleh orang-orang yang menjual produk, dan mereka tidak dilatih dalam menguruskan penyakit kencing manis.

5. Komplikasi diabetes biasanya berkaitan dengan saluran darah. Jika salur darah besar terjejas, pesakit akan diserang strok, serangan jantung dan lain-lain. Jika kapilari kecil terjejas, mata, buah pinggang dan saraf akan terjejas.

6. Jangan menangguhkan rawatan anda. Pesakit kencing manis yang dirawat dengan baik boleh menjalani kehidupan seperti orang biasa